Featured

Revolusi perindustrian 4.0 (pengenalan)

“Industri 4.0 mengubah cara kita bekerja dan hidup. Perubahan ini dipacu tiga domain teknologi utama iaitu fizikal, digital dan biologikal yang merentasi sembilan tonggak Industri 4.0, merangkumi simulasi dan realiti maya, integrasi sistem menegak dan melintang, industri Internet of Things (IoT), keselamatan siber, pengkomputeran awan, pembuatan bahan tambahan, rantaian bekalan, analisis data dan automasi robot.”

The Fourth Industrial Revolution oleh Klaus Schwab, pengasas esekutif WEF (World Economic Forum)


Sebelum ini revolusi perindustrian pertama bergantung kepada penggunaan mesin berkuasa wap. Revolusi perindustrian kedua pula melibatkan kuasa elektrik. Di­ikuti revolusi perindustrian ketiga berasaskan teknologi maklumat dan komputer sebagai tonggaknya. Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) melibatkan teknologi automasi memberi cabaran baharu kepada semua sektor di setiap negara yang memerlukan mereka melakukan perubahan seiring dengan transformasi digital itu untuk kekal berdaya saing.

Secara umumnya, ia melibatkan Internet Of Things (IOT) atau Internet Kebendaan dalam hampir semua aspek kehidupan seharian. Rumah pintar, kereta pintar, telefon pintar dan banyak lagi elemen pintar diterjemahkan di dalam teknologi pintar melalui Industri 4.0. Dahulu, televisyen hanya berperanan sebagai penyampai maklumat selain memberi hiburan kepada masyarakat.

Kini, televisyen boleh berhubung secara langsung dengan manusia seperti mengesan manusia tidur lalu ia akan mematikan fungsinya secara automatik. Ini antara contoh perkembangan teknologi yang dihasilkan melalui Revolusi Industri 4.0, yang dibangunkan melalui teknologi digital tanpa sebarang garis pemisah antara teknologi dengan sistem biologi seperti manusia.

Revolusi perindustrian 4.0 di peringkat domestik

Dunia berada pada satu titik penting yang bakal melakar sebuah lagi tiitk sejarah. Revolusi Industri 4.0 dijangka akan membawa impak perubahan maksima terhadap kehidupan sejagat manusia.

Menurut Profesor Klaus Schwab, pengasas dan pengerusi eksekutif World Economic Forum, Revolusi Industri 4.0 menggabungkan dunia biologikal, fizikal dan digital serta menghasilkan pelbagai teknologi baru yang memberikan kesan kepada pelbagai disiplin, ekonomi dan industri. 

Dengan berkembangnya teknologi automasi, robotik, pengkomputeran awan, kecerdasan buatan dan Internet untuk segala-galanya (IoT) dan komunikasi, kerja-kerja berbentuk rutin bakal diganti oleh mesin ataupun robot. Kehebatan idea dari manusia dapat memudahkan manusia lain.

Di negara maju, perkembangan teknologi yang pesat dikenal pasti sebagai salah satu daripada punca yang menyebabkan kehilangan pekerjaan bagi golongan pekerja separuh mahir

Gabungan teknologi automasi dan kecerdasan buatan umpamanya, berkemampuan mengambil alih kerja-kerja rutin yang sebelum ini dilakukan oleh manusia bukan sahaja di sektor perindustrian malahan juga di sektor-sektor ekonomi yang lain. Ini secara tidak langsung membuahkan produktiviti dari segi domestik dan komersial.

Munculnya golongan populis yang membawa kepada kemenangan Donald Trump di Amerika Syarikat dan juga Brexit di United Kingdom antara lainnya dikaitkan dengan jurang pendapatan yang besar di negara-negara tersebut.

Ringkasnya, perkembangan Revolusi Industri 4.0 dan kesannya terhadap sosio-ekonomi sesebuah negara tidak boleh dipandang ringan.

Selain dari kesan positif terhadap pertumbuhan ekonomi dan memudahkan kehidupan manusia, revolusi tersebut juga mempunyai sisi negatif yang perlu diberi perhatian serius oleh penggubal polisi.

Walaupun Malaysia belum mencapai status negara maju yang didominasi oleh pengaruh teknologi Revolusi Industri 4.0, namun kesannya sudahpun mula dirasai.

Perkhidmatan e-hailing seperti Grab sebagai contoh telah membuka lembaran baru di dalam sektor pengangkutan dengan menawarkan kos yang kompetitif sekaligus menggugat kedudukan teksi sebagai salah satu mode perkhidmatan di negara ini.

Penggunaan teknologi yang semakin berkembang dengan kos yang kompetitif bakal meningkatkan produktiviti dan seterusnya menggalakkan industri untuk turut serta di dalam gelombang Revolusi Industri 4.0.  

Dengan itu, kesan positif Revolusi Industri 4.0 terhadap pertumbuhan ekonomi memang dapat dijangka.

Oleh itu, revolusi perindustrian 4.0 yang galak diusahakan di Malaysia bakal melonjakkan nama Malaysia ini dipersada dunia dan juga, secara tidak langsung mendekatkan lagi negara kita kepada status “Negara Maju”.

Cadangan berkenaan revolusi perindustrian 4.0

Individu

Masyarakat perlu berubah mengikut arus perubahan kemajuan dalam perindustrian semasa supaya tidak ketinggalan. Teknologi yang ada sekaranng menukar cara konvensional dan golongan yang tidak mahu berubah akan diganggu dan dinyahkan oleh teknologi baharu.

Sebagai contoh, dengan adanya perkhidmatan e-hailing seperti Grab dan Uber, perkhidmatan teksi dan kereta sewa telah sedikit sebanyak terjejas. Oleh itu pihak yang terlibat industri teksi dan kereta sewa, baik di peringkat atasan mahupun bawahan perlulah berfikiran kreatif dan kritis bagi menambahkan mutu perkhidmatan supaya kekal mendapat tempat di hati masyarakat. Pemandu teksi misalnya boleh mencuba melibatkan diri dalam perkhidmatan e-hailing.

Pada pandangan saya, adalah lebih baik mereka menceburi perkhidmatan e-hailing daripada menunggu pelanggan yang tidak kunjung tiba ibarat menunggu kucing bertanduk dan bersungut setiap hari.

Contoh yang lain pula ialah pelajar perlulah memantapkan kemahiran dalam bidang teknologi maklumat (IT) supaya kekal kompeten apabila keluar ke alam pekerjaan nanti. Tambahan pula sekolah-sekolah dan institusi pengajian di Malaysia telah memperkasakan penggunaan teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran. Bukan itu sahaja, pelajar juga perlulah menggunakan kemudahan seperti internet dan telefon pintar untuk menguasai pembelajaran di luar buku teks.

Dalam abad ke 21 ini, aktiviti pembelajaran dan pengajaran tidak sepatutnya dilakukan di dalam bilik darjah sahaja. Sekolah dan institusi juga bukanlah satu satunya sumber yang boleh digunakan dalam menuntut ilmu. Terdapat juga platform di internet yang boleh dijadikan sumber bahan ilmiah. Cabarannya ialah pelajar harus tahu membezakan antara perkara yang benar dan palsu. Oleh itu para pelajar perlulah merebut peluang untuk menguasai ilmu teknologi maklumat demi menyiapkan diri ke arah kemajuan revolusi perindustrian 4.0.

Industri

Pihak industri di Malaysia turut berperanan dalam memperkasakan latihan dan bimbingan secara praktikal untuk menyediakan tenaga kerja yang berkemahiran sejajar dengan keperluan zaman perindustrian 4.0. Pihak industri juga boleh berkolaborasi dengan institut pengajian untuk memberikan idea kepada pelajar tentang kepakaran yang bakal diperlukan untuk bekerja dalam zaman revolusi perindustrian 4.0 ini.

Pihak industri boleh berkunjung ke sekolah sekolah dan institusi pengajian untuk menambah baik teknik pembelajaran yang bersesuaian dan selari dengan kehendak pasaran pekerjaan di Malaysia. Dalam hal ini pihak Kementerian Pelajaran Malaysia juga perlu memainkan peranan yang proaktif supaya dapat membentuk tenaga kerja mahir menjelang tahun 2030.

Penutup

Dalam menutup bicara tentang hebat dan turun naiknya revolusi perindustrian merentasi tahun, kita sedia maklum akan kecanggihan teknologi dari idea buatan manusia. Dari cuma wujudnya perindustrian yang berasaskan tenaga manusia, kepada penggabungan kukuh antara dunia realiti dengan dunia maya.

Sejak dari revolusi perindustrian pertama serta peranjakannya kepada revolusi-revolusi seterusnya, semuanya membawa kepada pembaharuan yang memberi manfaat kepada umat sejagat serta disesuaikan dengan peredaran zaman.

Dapat disimpulkan bahawa revolusi perindustrian adalah salah satu elemen penting dalam pembinaan tamadun dari zaman ke zaman. secara teknikalnya, jika kita tidak ingin mencuba perkara baru untuk melonjakkan prestasi semasa maka kita cuma akan ketinggalan di takuk yang lama.

Oleh itu, yang terus menjadi buruan kini ialah kemajuan demi kemajuan yang dapat ditingkatkan kepada perindustrian dunia mahupun di negara kita sendiri. Barangkali revolusi perindustrian 5.0 bakal datang dan menyajikan lebih lagi teknologi dan inovasi yang semestinya adalah salah satu tiang ukur prestasi sesebuah negara.

Komponen utama revolusi perindustrian ke-4

Untuk merealisasikan revolusi ini, terdapat 9  tonggak utama dalam membangunkan teknologi ke arah pembaharuan dan lebih pintar;

Robotik Autonomi (Autonomous Robot)

Penggunaan robot dalam pembuatan bukan sesuatu yang baru, tetapi dengan teknologi terkini kemajuan dalam penciptaan robot akan menjadi lebih autonomi, fleksibel dan berkeupayaan untuk menangani tugas rumit mahupun operasi seharian. Mereka boleh dipantau dan dikendalikan dari jauh dan diprogramkan untuk wujud bersama dan beroperasi dalam persekitaran kerja yang sama seperti manusia.

Simulasi (Digital Twin)

Sistem simulasi akan lebih dibangunkan untuk bersifat ‘real-time’ samada dalam penggunaan mesin , penciptaan objek maya manusia ataupun produk. Sekaligus akan mengoptimumkan kendalian program dibawah pengawasan, mengurangkan potensi masalah yang bakal berlaku dan menjimatkan masa serta tenaga kerja.

Teknologi awan (Cloud computing)

Banyak syarikat telah pun melaksanakan teknologi ini dan akan terus ditambah baik potensi dalam penyimpanan data di Industri 4.0 kerana kebanyakannya seperti Digital Twin dan Internet of Things  memerlukan perkongsian data di seluruh mesin, tapak dan sempadan syarikat. Dengan peningkatan teknologi awan, lebih banyak mesin dan data pengeluaran akan dikerahkan ke awan yang akan menghasilkan penyampaian perkhidmatan yang lebih baik dan memastikan keberadaan data pada bila bila masa sahaja.

Integrasi Sistem

Walaupun sistem IT hari ini jauh daripada terintegrasi sepenuhnya, dengan Industri 4.0, syarikat, jabatan, fungsi, pembekal dan pelanggan akan menjadi lebih kohesif dan bersambung. Dengan integrasi sistem mendatar dan menegak, maklumat dan pengetahuan akan dapat berjalan lancar melalui keseluruhan rangkaian bekalan dan meningkatkan kerjasama antara industri R & D , pihak pengeluaran, pelanggan dan pembekal. Ini bermaksud, segala yang berkaitan akan bersambung untuk memudahkan urusan pihak tertentu dan mencapai objektif kelancaran sistem pengeluaran.

Industri Teknologi Peranti Pintar (Internet of things)

Ia boleh dihuraikan sebagai rangkaian peranti yang mempunyai kecerdasan tersendiri, yang membolehkan komunikasi antara mesin atau peranti. Ia menggabungkan pembelajaran mesin, teknologi big data, data sensor, mesin untuk komunikasi  dan teknologi automasi. Berbanding  manusia, mesin pintar yang terhubung dapat mengumpul dan memproses set data yang besar dengan lebih tepat dan konsisten.

Sekuriti Siber

Dengan peningkatan teknologi rangkaian, risiko ancaman siber dan serangan siber juga akan meningkat. Oleh itu, adalah penting setiap syarikat untuk memberi tumpuan kepada keselamatan siber dan mengetahui bagaimana mereka boleh melindungi data mereka dan meminimumkan risiko yang berkaitan.

Pembuatan Additif (Percetakan 3D)

Pembuatan bahan tambahan Industri 4.0 seperti percetakan 3D akan digunakan untuk menghasilkan produk berbingkai yang lebih kecil  mengikut kesesuaian dengan berat  yang ringan atau reka bentuk kompleks, prototaip dan banyak lagi.

Realiti Maya (Augmented Reality)

Industri ini akan memainkan peranan penting dalam industri 4.0, kerana ia dapat membantu menyediakan maklumat visual yang tepat dalam masa yang tepat kepada orang yang tepat dan di tempat yang tepat.Penyelesaian ini  boleh digunakan dengan peranti handhold seperti telefon pintar dan tablet, atau bersepadu dalam produk seperti cermin mata atau lain-lain. Teknologi ini akan memberikan lebih banyak kelenturan, kesesuaian, peningkatan dan daya saing faktor manusia dan penambahbaikan yang berterusan. Ini juga akan membawa kepada pengurangan kecacatan dalam gerak kerja yang sesuai untuk industri perkhidmatan dan penyelenggaraan, dan mengurangkan potensi ‘error’ dalam melatih teknologi ini kepada pekerja baru.

Analisis data besar (Big data)

Data besar telah menjadi kata kunci popular, yang mungkin anda jumpai selama beberapa tahun ini. Syarikat-syarikat telah mula mengumpul dan menganalisis set data besar dengan niat untuk mengoptimumkan kualiti pengeluaran, penjimatan tenaga, mengurangkan kos pengeluaran dan lain-lain. Dengan peningkatan bilangan sensor bersepadu ke arah memudahkan pengilangan mesin dan produk, ia akan dapat meningkatkan kuantiti juga kualiti data. Dengan analisis data yang besar, ia akan dapat mengekstrak maklumat berharga daripada set data yang besar dan mencapai perkhidmatan yang lebih baik, meningkatkan kualiti produk dalam masa yang lebih singkat serta mengurangkan kos.

Sumber rujukan:

https://www.weforum.org/about/the-fourth-industrial-revolution-by-klaus-schwab

https://bendahari.ump.edu.my/index.php/en/info-kewangan1/530-revolusi-industri-4-0

Objektif penulisan

Tujuan penulisan ini dibuat adalah untuk mendidik masyarakat Malaysia, lebih-lebih lagi orang awam khususnya pelajar tentang maklumat berkaitan revolusi perindustrian 4.0.

Topik revolusi perindustrian 4.0 sememangnya bukanlah sebuah topik yang asing bagi kita menjelang tahun 2020 ini. Walhal, dalam mata pelajaran sejarah juga kita belajar mengenai perkembangan zaman perindustrian dan inputnya.

Selain itu kita juga dapat;

  • Menambahkan pengetahuan tentang revolusi perindustrian 4.0.
  • Mengenalpasti ciri-ciri revolusi perindustrian berdasarkan zamannya.
  • Mengikuti perkembangan perindustrian.

Dengan mengetahui tentang revolusi perindustrian 4.0, kita dapat menjadi insan yang lebih berilmu dan lebih peka dengan perkembangan sekeliling kita. Pelajar khususnya dapat membuat persediaan untuk keluar sebagai tenaga kerja dengan mengetahui permintaan industri semasa.

Diharapkan agar maklumat yang dikongsikan di sini dapat membantu mendidik masyarakat setempat dan dapat digunakan secara berhemah oleh pembaca. Semoga negara Malaysia dan rakyatnya berkembang sejajar dengan kemajuan global dan antarabangsa.