Cadangan berkenaan revolusi perindustrian 4.0

Individu

Masyarakat perlu berubah mengikut arus perubahan kemajuan dalam perindustrian semasa supaya tidak ketinggalan. Teknologi yang ada sekaranng menukar cara konvensional dan golongan yang tidak mahu berubah akan diganggu dan dinyahkan oleh teknologi baharu.

Sebagai contoh, dengan adanya perkhidmatan e-hailing seperti Grab dan Uber, perkhidmatan teksi dan kereta sewa telah sedikit sebanyak terjejas. Oleh itu pihak yang terlibat industri teksi dan kereta sewa, baik di peringkat atasan mahupun bawahan perlulah berfikiran kreatif dan kritis bagi menambahkan mutu perkhidmatan supaya kekal mendapat tempat di hati masyarakat. Pemandu teksi misalnya boleh mencuba melibatkan diri dalam perkhidmatan e-hailing.

Pada pandangan saya, adalah lebih baik mereka menceburi perkhidmatan e-hailing daripada menunggu pelanggan yang tidak kunjung tiba ibarat menunggu kucing bertanduk dan bersungut setiap hari.

Contoh yang lain pula ialah pelajar perlulah memantapkan kemahiran dalam bidang teknologi maklumat (IT) supaya kekal kompeten apabila keluar ke alam pekerjaan nanti. Tambahan pula sekolah-sekolah dan institusi pengajian di Malaysia telah memperkasakan penggunaan teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran. Bukan itu sahaja, pelajar juga perlulah menggunakan kemudahan seperti internet dan telefon pintar untuk menguasai pembelajaran di luar buku teks.

Dalam abad ke 21 ini, aktiviti pembelajaran dan pengajaran tidak sepatutnya dilakukan di dalam bilik darjah sahaja. Sekolah dan institusi juga bukanlah satu satunya sumber yang boleh digunakan dalam menuntut ilmu. Terdapat juga platform di internet yang boleh dijadikan sumber bahan ilmiah. Cabarannya ialah pelajar harus tahu membezakan antara perkara yang benar dan palsu. Oleh itu para pelajar perlulah merebut peluang untuk menguasai ilmu teknologi maklumat demi menyiapkan diri ke arah kemajuan revolusi perindustrian 4.0.

Industri

Pihak industri di Malaysia turut berperanan dalam memperkasakan latihan dan bimbingan secara praktikal untuk menyediakan tenaga kerja yang berkemahiran sejajar dengan keperluan zaman perindustrian 4.0. Pihak industri juga boleh berkolaborasi dengan institut pengajian untuk memberikan idea kepada pelajar tentang kepakaran yang bakal diperlukan untuk bekerja dalam zaman revolusi perindustrian 4.0 ini.

Pihak industri boleh berkunjung ke sekolah sekolah dan institusi pengajian untuk menambah baik teknik pembelajaran yang bersesuaian dan selari dengan kehendak pasaran pekerjaan di Malaysia. Dalam hal ini pihak Kementerian Pelajaran Malaysia juga perlu memainkan peranan yang proaktif supaya dapat membentuk tenaga kerja mahir menjelang tahun 2030.

Leave a comment