Revolusi perindustrian 4.0 (pengenalan)

“Industri 4.0 mengubah cara kita bekerja dan hidup. Perubahan ini dipacu tiga domain teknologi utama iaitu fizikal, digital dan biologikal yang merentasi sembilan tonggak Industri 4.0, merangkumi simulasi dan realiti maya, integrasi sistem menegak dan melintang, industri Internet of Things (IoT), keselamatan siber, pengkomputeran awan, pembuatan bahan tambahan, rantaian bekalan, analisis data dan automasi robot.”

The Fourth Industrial Revolution oleh Klaus Schwab, pengasas esekutif WEF (World Economic Forum)


Sebelum ini revolusi perindustrian pertama bergantung kepada penggunaan mesin berkuasa wap. Revolusi perindustrian kedua pula melibatkan kuasa elektrik. Di­ikuti revolusi perindustrian ketiga berasaskan teknologi maklumat dan komputer sebagai tonggaknya. Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) melibatkan teknologi automasi memberi cabaran baharu kepada semua sektor di setiap negara yang memerlukan mereka melakukan perubahan seiring dengan transformasi digital itu untuk kekal berdaya saing.

Secara umumnya, ia melibatkan Internet Of Things (IOT) atau Internet Kebendaan dalam hampir semua aspek kehidupan seharian. Rumah pintar, kereta pintar, telefon pintar dan banyak lagi elemen pintar diterjemahkan di dalam teknologi pintar melalui Industri 4.0. Dahulu, televisyen hanya berperanan sebagai penyampai maklumat selain memberi hiburan kepada masyarakat.

Kini, televisyen boleh berhubung secara langsung dengan manusia seperti mengesan manusia tidur lalu ia akan mematikan fungsinya secara automatik. Ini antara contoh perkembangan teknologi yang dihasilkan melalui Revolusi Industri 4.0, yang dibangunkan melalui teknologi digital tanpa sebarang garis pemisah antara teknologi dengan sistem biologi seperti manusia.